Gara-gara menyamar sebagai pegawai risikan Kastam Diraja Malaysia seorang lelaki menerima padah setelah dibelasah sekumpulan penduduk Kampung Telaga Daeng, Seberang Takir Kuala Terengganu semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu suspek berusia 47 tahun bersama seorang rakan berusia 22 tahun pergi ke sebuah kedai runcit dan menggari seorang pembantu kedai berusia 22 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K Manoharan berkata kedua-dua suspek mengambil tindakan demikian dengan menunjukkan kad kuasa Kastam yang palsu selepas pembantu kedai tersebut enggan memberi mereka RM200 kerana didakwa menjual barangan seludup.

Bagaimanapun kejadian itu disedari pemilik kedai berusia 57 tahun yang kebetulan pergi ke kedai tersebut tidak lama kemudian.

"Pemilik kedai tersebut menyuruh suspek melepaskan pembantu kedai yang juga anak saudaranya dan selepas itu berlaku pergelutan antara mereka." kata Manoharan lagi.